Sedangkan untuk mendapat ilmu berkat, seseorang itu harus menjaga adab terhadap guru. Dalam Islam, guru diangkat martabatnya dan perkara itu dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan Abu Ummah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya Allah, para malaikat serta penduduk langit dan bumi sehinggakan semut yang berada di dalam lubangnya dan ikan di lautan berselawat (memohon keampunan dan kebaikan) ke atas pendidik manusia kepada kebaikan”.
Selain itu, Allah SWT juga telah meletakkan kayu ukur paling penting bagi seorang guru sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Kami telah mengutus kepadamu Rasul antara kamu yang membacakan ayat-ayat kami kepada kamu dan mengajarkan kepadamu al-Kitab dan al-Hikmah (as sunnah) serta mengajarkan kepada kami apa yang belum kamu ketahui.” - surah al Baqarah ayat 151.
Dalam konteks ini, guru adalah ejen terpenting untuk mendidik generasi muda menjadi orang yang berguna di dunia dan akhirat. Guru juga ialah penggerak pembangunan pendidikan negara yang sentiasa dipandang mulia oleh semua.


Wan nur fatihah wan abdullah
USIM